KENAIKAN harga makanan ternakan melonjak dua hingga tiga kali ganda sejak pandemik Covid-19 menjadi beban kepada penternak haiwan ruminan terutama lembu dan kambing.
Dedak atau makanan siap proses yang biasa diimport mengalami kenaikan kerana kos logistik selain di pengaruhi pasaran luar dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Penternak yang terkesan disaran mengambil langkah mempelbagaikan sumber makanan ternakan untuk haiwan mereka dan tidak terlalu bergantung kepada dedak atau makanan formula ternakan kerana harga terlalu tinggi.
Alternatif mempelbagaikan sumber makanan kepada haiwan ternakan termasuk pemberian napier iaitu sejenis rumput yang memiliki kualiti setanding dengan dedak atau makanan formula ternakan.
Napier, sejenis tanaman rumput yang tumbuh secara menegak dengan daunnya keluar dari ruas atau stolon iaitu jenis batang kecil mengeluarkan pucuk dan akar pada bahagian hujung atau pada buku batang. Kandungan protein terdapat pada batang dan daun napier India atau IKN091 mencecah 20.3 peratus berbanding napier Taiwan 10 hingga 13 peratus.