"jaminan sekuriti makanan yang baik akan menentukan kesejahteraan sosial dan mengurangkan tekanan serta kebimbangan masyarat terhadap isu kekurangan bekalan makanan negara"

SEKURITI MAKANAN imageSEKURITI MAKANAN imageSEKURITI MAKANAN image
Salah satu keperluan asas manusia yang tidak boleh dipertikaikan lagi adalah sumber makanan yang merupakan satu bentuk keperluan untuk kelangsungan hidup. Justeru ia juga meliputi soal perlindungan dan mengurus tadbir makanan dalam sesebuah masyarakat dan negara yang merangkumi soal sekuriti makanan atau jaminan bekalan makanan, pemakanan seimbang dan juga soal keselamatan dan kebersihan aspek makanan dan pemakanan.

Ia merupakan satu tanggungjawab untuk memenuhi keperluan asas masyarakat khususnya aspek makanan. Secara tuntasnya, menjadi amanah penting bagi kita untuk memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan menggubal dasar atau polisi kehidupan agar krisis tersebut dapat dibendung dan dielakkan.Sejarah telah membuktikan bagaimana kebijaksanaan Nabi Yusuf mentadbir urus bekalan makanan sebelum dan selama tempoh musim kemelesetan yang melanda masyarakat Mesir sedangkan seluruh negara yang berdekatan dengannya mengalami krisis sekuriti makanan yang kritikal.

Kekurangan bekalan makanan boleh menyebabkan tercetusnya krisis makanan. Kebanyakan negara termasuklah negara Islam berhadapan dengan isu getir ini.

Ketiadaan sekuriti makanan juga boleh mengakibatkan kelaparan dan kebuluran. Adakalanya ia disebabkan oleh ketiadaan bekalan dan juga harga makanan yang tidak stabil. Faktor ketidakmampuan untuk membeli makanan sihat pada harga yang tinggi akan menjejaskan pembangunan ekonomi, kesihatan, sosial, dan politik negara. Senario ini juga semakin berpasak di negara kita dengan keadaan ekonomi mendesak dan kos sara hidup yang tinggi.

Oleh sebab itu, penting sekali anda semua bersama kami dalam melakukan perancangan ke arah sekuriti makanan dan menjadikan ia suatu agenda utama. Peranan proaktif dalam dimensi lebih luas perlu digemblengkan daripada pelbagai pihak termasuk para pengguna.