26 Aug
26Aug


Satu daripada keperluan asas setiap insan ialah ketersediaan dan kecukupan makanan yang berkhasiat. Ia dapat menentukan kadar tumbesaran tubuh badan sihat dan akal cerdas serta mewujudkan kesediaan sumber tenaga kerja berkualiti bagi sesebuah negara. Individu yang sihat fizikal dan mental dapat melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah SWT untuk memakmurkan bumi.

Sistem makanan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran Sifar Kelaparan (Zero Hunger) 2030 yang telah digariskan dalam Sustainable Development Goals (SDG) dengan memastikan sekuriti makanan terjamin dan menambah baik kualiti nutrisi makanan. Pada hari ini, sasaran tersebut menjadi lebih penting untuk difokuskan berbanding sebelum ini disebabkan oleh peningkatan urbanisasi, perubahan iklim dan tekanan demografi. 

Walaupun pelbagai kemajuan dan pembangunan teknologi telah dicapai untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan memastikan sekuriti makanan, namun Malaysia masih menghadapi cabaran getir, terutamanya semasa pandemik COVID-19 dan bencana alam yang masih berlaku di sana dan sini. 

Perbandingan dengan 113 negara dalam Indeks Keselamatan Makanan Global Global Food Security Index GFSI) 2020; kedudukan Malaysia telah menurun daripada tangga ke-28 pada 2019 kepada tangga ke-43 pada 2020 dengan skor 67.9%. Maka, bagaimanakah makanan yang mencukupi dan berkhasiat dapat disediakan untuk masyarakat Malaysia? 

Apakah peranan yang harus dimainkan oleh sektor kerajaan, swasta dan pemain sektor pertanian untuk memberi jaminan tahap sekuriti keperluan makanan negara? Hal yang demikian ini kerana cabaran untuk menyediakan makanan yang mencukupi dan berkhasiat menjadi isu utama dalam golongan miskin dan miskin tegar. 

Permasalahan ini menjadi amat ketara sejak bermulanya pandemik COVID-19 apabila banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup sementara atau terus gulung tikar. Impaknya kepada pemberhentian atau kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Ketidaktentuan ini menjadi dilema khususnya kepada golongan berpendapatan rendah sekaligus memberi kesan dari aspek kemampuan dan kebolehcapaian makanan yang berkualiti. 

Perubahan iklim turut memberi impak kemusnahan yang besar kepada sistem makanan khususnya terhadap aspek ketersediaan dan penggunaan makanan, termasuk zat nutrisi dan keselamatan makanan. Perubahan cuaca dunia pada hari ini akan meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kerana ia berkait rapat dengan berkurangnya ketersediaan makanan dan mengurangkan pendapatan isi rumah dari sektor pertanian secara tidak langsung. Keadaan ini tidak hanya menjejaskan produktiviti pertanian dan mengurangkan bekalan makanan tetapi juga akan menyebabkan peningkatan harga makanan.  

Kesan yang saling terkait ini terus berlaku menyebabkan terdapat keluarga yang tidak berkemampuan akan beralih kepada makanan yang rendah zat dan tinggi kalori serta tidak berkualiti seperti makanan yang diproses.Situasi tersebut boleh dilihat di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana yang telah mengalami transisi status pemakanan. 

Makanan dan minuman berkalori tinggi menjadi lebih murah daripada makanan yang lebih sihat. Keadaan ini mungkin kerana terdapat kesukaran untuk mengakses makanan yang kaya dengan nutrien, terutamanya ketika krisis cuaca dan kejutan ekonomi atau pendapatan. Kerencaman dalam perubahan iklim akan mengubah penggunaan makanan dengan memberi kesan kepada status pemakanan penduduk. Suhu yang lebih tinggi akan menggalakkan perkembangan patogen, banjir akan memusnahkan tanaman sementara kemarau akan mempengaruhi kualiti air dan kebersihan. 

Situasi ini juga menyumbang kepada peningkatan beban penyakit.Justeru, sekuriti makanan negara perlu diperkasakan dengan mengambil kira ancaman perubahan iklim demi kelangsungan kehidupan rakyat. Bagi memastikan persediaan negara menghadapi krisis jaminan bekalan makanan dengan baik, Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara (2021– 2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dirangka dengan menekankan komponen sekuriti makanan yang merangkumi ketersediaan, kebolehdapatan, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.

Dengan adanya pelan tindakan dan dasar berkait dengan sekuriti makanan, seharusnya negara mampu bergerak secara tuntas dengan menfokuskan pemantapan elemen sekuriti makanan. Ini bertujuan agar permasalahan yang timbul dapat diminimumkan impaknya, khususnya apabila negara berhadapan dengan krisis bencana.

Kerajaan harus memainkan peranan untuk menubuhkan satu badan khusus atau agensi sekuriti makanan yang bertanggungjawab memastikan jaminan bekalan, akses dan simpanan makanan negara dipelihara melalui pemusatan fungsi semua agensi sedia ada dengan kerjasama pemain industri pertanian. Usaha ini penting bagi mengoptimumkan sumber makanan tempatan dan memastikan kelangsungan bekalan makanan demi memelihara kedaulatan makanan negara. Sudah tiba masanya negara harus mengorak langkah ke arah mempertingkatkan usaha untuk mengurangkan pengimportan makanan dan memaksimumkan kebergantungan hasil tempatan. 

Teknologi terkini harus dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan, pemprosesan dan pengagihan makanan dapat dilaksanakan dengan efisien. Namun, teknologi dan infrasruktur terkini sukar diperoleh di kawasan luar bandar malah kebanyakan para petani dan penternak juga belum menguasai teknologi maklumat secara maksimum. 

Golongan tersebut harus diberi pendedahan dan kesedaran bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor pertanian moden. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan berteraskan sains dan teknologi perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menghasilkan produk makanan yang berinovasi dan mampu dikomersialkan. Hal ini amat penting diambilkira supaya negara kita tidak mempunyai sebarang masalah bekalan makanan jika berlakunya krisis yang berskala besar datang melanda seperti pandemik COVID-19 dan bencana alam.

Aktiviti pertanian sangat penting untuk membantu memastikan makanan yang mencukupi, segar dan berkhasiat dapat disediakan. Kepentingan sektor pertanian jelas ditunjukkan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari). 

Tidak dapat dinafikan bahawa bidang pertanian memberi manfaat umum yang lebih besar berbanding kepentingan peribadi. Hasilnya mampu memberi kebaikan kepada ramai orang demi kelangsungan kehidupan. Untuk itu, amat penting jaminan bekalan makanan negara dikoordinasikan dengan baik bagi menampung hak keperluan asasi seiring dengan pertambahan populasi yang semakin pesat. 

Hal yang demikian ini kerana, dengan wujudnya jaminan sekuriti makanan yang baik akan menentukan kesejahteraan sosial dan mengurangkan tekanan serta kebimbangan masyarat terhadap isu kekurangan bekalan makanan negara.

Comments
* The email will not be published on the website.