15 Mar
15Mar

DALAM keadaan harga jualan makanan dan sayur semasa meningkat begitu tinggi, usaha penanaman sayur-sayuran berkelompok di kawasan terbiar di bandar serta pinggir bandar dapat mengurangkan sedikit sebanyak keperluan setempat.Paling tidak, membantu keperluan isi rumah dan kegunaan sendiri. Ini idea serta inisiatif yang perlu diketengahkan sebagai usaha berterusan agar dapat mengurangkan kebergantungan sayuran dari luar semata-mata.

Dengan populasi semakin meningkat dan pembangunan pembandaran besar-besaran, tanah subur kian berkurangan. Kebun bandar ialah penyelesaian berkemungkinan untuk menggunakan tanah tersedia bagi menghasilkan sumber makanan setempat.Contohnya, taman di atas bumbung bukan sahaja mengambil ruang minimum, bahkan dapat dijadikan kawasan tanaman sayuran yang sesuai. Lebih-lebih lagi, ruang itu akan menjadi sia-sia jika tidak dimanfaatkan. Malah, taman menegak boleh disediakan di mana sahaja, termasuk di dalam rumah.

Pertanian bandar atau kebun bandar merujuk kepada menanam tumbuhan dan menternak haiwan menghasilkan makanan dalam bandar serta luar bandar.Ia merangkumi pemprosesan, kemudian mengedarkan hasil ke seluruh bandar. Inisiatif kebun bandar bukan baharu, malah dilaksanakan di setiap bandar global.

Konsep kebun bandar menjadi cara terbaik untuk meningkatkan akses makanan tempatan dan memperkenalkan semula banyak aspek makanan yang hilang sebagai budaya kepada orang ramai.Bagaimana proses penghasilan makanan berkembang, apakah yang tumbuh secara serantau dan bermusim adalah pengajaran penting, sekali gus menjadikan pengguna bandar lebih berpengetahuan. 

Oleh itu, kebun bandar boleh menjadi barisan hadapan sistem makanan.Disebabkan peningkatan teknologi, kita boleh menanam sayur-sayuran di tempat yang sebelum ini sukar atau hampir mustahil. 

Ladang bandar boleh sama ada di taman komuniti luar kecil tradisional atau ladang menegak moden dalam reka bentuk bandar.Ladang futuristik boleh direka dalam pelbagai cara, tetapi kebanyakannya mempunyai barisan rak dipenuhi tumbuhan berakar umbi dalam tanah, air atau udara kaya dengan nutrien.

Sesetengah ladang bandar dibina secara eksklusif untuk program pendidikan dan latihan. Namun, banyak dibina untuk meningkatkan akses makanan dalam komuniti tertentu atau meneruskan budaya masakan tradisional. Ada dibina sebagai menambah sumber kewangan dan boleh menjadikan pertanian bandar berdaya maju serta lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Kebun bandar juga dapat meningkatkan akses makanan segar untuk komuniti kurang bernasib baik dari segi ekonomi.Kebun bandar dapat meningkatkan sumber 'sekuriti makanan' setempat. Keselamatan makanan bermakna kita mempunyai akses jumlah makanan mampan mencukupi untuk kegunaan setempat. Ini kebimbangan serius bagi banyak keluarga di seluruh dunia.Kebun bandar boleh dikembang dan dijayakan dengan cara betul serta tersusun sebagai penyelesaian boleh dilaksanakan untuk masalah ini. 

Namun, tunjuk ajar dan bantuan permulaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melancarkan program kebun bandar ini. Malah, petani bandar juga boleh menjual hasil tuaian dan menyimpan selebihnya untuk kegunaan sendiri. Program dan aktiviti kebun bandar ialah cara menarik untuk menyatukan orang ramai mewujudkan rasa kemasyarakatan dalam kalangan kumpulan penduduk terpencil. Contohnya, apabila penduduk kejiranan, keluarga, rakan atau kadangkala orang tidak dikenali bekerjasama untuk memastikan tumbuhan hidup di taman komuniti, ia mengembangkan rasa kekitaan dalam masyarakat. Inisiatif kebun bandar dapat menjadi sebahagian kawasan tadahan dan menyerap air hujan lebat di bandar; dapat menurunkan kesan pulau haba bandar; kawalan perosak dan penjimatan kos tenaga berterusan. Ini secara tidak langsung menyumbang ciri dan kriteria bandar sejahtera serta berdaya huni berterusan.

Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Comments
* The email will not be published on the website.