03 Mar
03Mar

Apakah itu Jaminan Makanan? Secara amnya, jaminan makanan ditakrifkan sebagai satu situasi apabila individu atau isi rumah, pada bila-bila masa, memiliki akses ekonomi dan fizikal ke atas makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat. Yang mana ia memenuhi keperluan dan citarasa pemakanan untuk hidup yang aktif dan sihat sepanjang masa. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat komponen yang menjadi tunjang kepada Jaminan Makanan iaitu:

1) Ketersediaan makanan (Availability) – Keperluan untuk adanya sumber yang boleh harap dan konsisten untuk mendapatkan makanan yang berkualiti.

2) Capaian makanan (Accessibility) – Kemampuan setiap individu atau isi rumah untuk menghasilkan dan/atau membeli makanan dengan sumber yang mencukupi.

3) Penggunaan makanan (Utilization) – Orang ramai mempunyai pengetahuan dan persekitaran asas yang bersih untuk memilih, menyediakan dan mengedarkan makanan sehingga mampu menghasilkan nutrisi yang baik, dan

4) Kestabilan makanan (Stability)– Keupayaan orang ramai untuk mengakses dan menggunakan makanan secara stabil dan berterusan dari semasa ke semasa.

Apakah keterkaitan antara setiap komponen di atas dalam aspek jaminan makanan ini? Secara mudahnya boleh kita perhatikan dari fakta berikut. Pada ketika ini, pengeluaran makanan melalui pertanian di seluruh dunia mampu untuk menampung keperluan makanan bagi hampir 1.5 kali dari populasi semasa masyarakat sedunia (bersamaan kira-kira 10 billion manusia). Namun, data pada tahun 2018 dari UNICEF menyatakan, lebih daripada 820 juta manusia di seluruh dunia masih mengalami kebuluran, yang mana menunjukkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kedua berkenaan Sifar Kebuluran masih jauh dari sasaran.


Bagaimanakah kebuluran dan malnutrisi masih berlaku walaupun dengan adanya pengeluaran makanan yang lebih dari mencukupi? Perkara ini terjadi akibat dari ketidakseimbangan pada empat komponen Jaminan Makanan yang dinyatakan tadi. Menurut laman sesawang worldhunger.org, masalah kebuluran yang kebanyakannya berlaku di bahagian sub-Sahara Afrika dan di selatan Asia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:

Kemiskinan

Kemiskinan adalah punca utama kepada kebuluran di Afrika dan serata dunia. Individu yang hidup dalam kemiskinan tidak mampu untuk mendapatkan makanan, baik dari segi kuantiti atau kualiti bagi menjalani kehidupan yang sihat. Menurut Bank Dunia, pada tahun 2013, 42.3% penduduk sub-Sahara Afrika hidup pada atau kurang dari $1.90. Kanak-kanak yang terdedah kepada malnutrisi akan menyebabkan pertumbuhan mereka terbantut, yang membawa kepada kesan jangka panjang seperti menurunkan kadar produktiviti dan potensi pendapatan.

Konflik

Pada tahun 2017, konflik menjadi penyebab utama masalah makanan dan kebuluran di 18 buah negara, yang menjejaskan kira-kira 74 juta individu. Sebelas dari negara-negara ini berada di Afrika seperti Nigeria, Congo, Somalia dan selatan Sudan. Konflik dan keganasan antara etnik atau kaum ini dapat memberi kesan langsung dan tidak langsung ke atas semua peringkat dalam sistem makanan (Pengeluaran – Pemprosesan – Pengedaran – Penggunaan).

Cabaran Iklim dan Alam Sekitar

Cabaran alam sekitar seperti hakisan tanah, desertifikasi, penebangan hutan, kemarau dan kekurangan air – boleh memberi kesan buruk terhadap keselamatan makanan. Perubahan iklim pula dijangka akan membentuk semula landskap pertanian dunia. Iklim yang lebih sejuk adalah lebih baik untuk pertanian, tetapi akan melihatkan penurunan hasil yang ketara bagi beberapa kawasan pertanian utama dunia, misalnya di Brazil, USA dan Indonesia.

Masalah Pengurusan Sistem Makanan 

Ketidakupayaan kita untuk memberi makan kepada keseluruhan penduduk dunia kebanyakannya disebabkan oleh pembaziran makanan. Di negara-negara mundur, makanan terbazir disebabkan kurangnya infrastruktur dan pengetahuan untuk memastikan makanan sentiasa segar. Manakala di negara-negara maju dan sedang membangun, walaupun kos relatif penghasilan makanan adalah lebih rendah, namun pengambilan makanan yang melebihi keperluan menyebabkan lebih banyak makanan terbuang. Isu tersebutlah yang berlaku di negara kita setiap kali tiba musim perayaan khususnya. 

Pada ketika ini, Malaysia dilihat masih berada di dalam keadaan yang selesa apabila kita berbicara tentang isu Jaminan Makanan.Berdasarkan Global Food Security Index 2018, Malaysia berada kedudukan ke-40 dari 113 negara di seluruh dunia. Namun, menurut Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin, Pakar Pertanian dari Universiti Putra Malaysia, masalah kos sara hidup yang tinggi, import bersih yang semakin meningkat, dan corak permintaan makanan yang sentiasa berubah, boleh mengganggu kestabilan bekalan makanan di negara ini.

Kesannya boleh dilihat seperti krisis makanan yang berlaku pada tahun 2008 dan peningkatan harga bawang ketika ini akibat dari pengurangan eksport oleh India.Antara langkah-langkah sedia ada yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan membentuk beberapa polisi seperti Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (2008) dan Dasar Agromakanan Negara (2012). Dasar-dasar ini dibentuk untuk menjamin sumber makanan yang mencukupi, selamat, dan harga yang berpatutan, melalui program peningkatan pengeluaran dan produktiviti. Antara cadangan lain yang diutarakan oleh Prof Datuk Dr M Nasir adalah:

  • Meniru model pengeluaran tanaman industri supaya sektor pengeluaran makanan menjadi lebih berdaya saing dan komersil.
  • Membangun dan menarik minat lebih ramai anak muda untuk menjadi usahawantani dan usahawan pelapis termasuklah dari kalangan pemegang sijil dan ijazah, yang pastinya dapat menangani isu pengangguran.
  • Melaksanakan polisi guna tanah seperti penyisihan kawasan tanah khusus untuk pertanian.
  • Mempromosikan pertanian bandar dan mengadakan kempen bagi menggalakkan penggunaan makanan secara lestari bagi mengurangkan pembaziran.
  • Memperkasakan penyelidikan dalam pengeluaran, kepelbagaian genetik tanaman, serta pengendalian makanan oleh isi rumah, bagi memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi.
  • Mewujudkan rizab strategik sekuriti makanan dengan menyimpan stok makanan yang mencukupi untuk kegunaan ketika kecemasan.

Sebagai kesimpulan, langkah-langkah pencegahan awal perlulah dilaksanakan dari sekarang supaya negara ini tidak mengalami masalah kekurangan makanan di masa hadapan. Ia adalah tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul bersama oleh pihak kerajaan, badan-badan yang terlibat, NGO dan malah seluruh rakyat negara ini. Ayuh kita mendokong dan menyahut seruan kerajaan dengan meramaikan lagi usahawantani di kalangan kita dan memastikan penggunaan makanan yang optimum dalam komsumsi seharian kita.

 Oleh: Fathi Abd Rashid

Sumber:https://mampankini.com/apa-itu-jaminan-makanan-dan-kesannya-kepada-dunia/

Comments
* The email will not be published on the website.