Berita Harian - Puan Norkumala binti Awang 26/05/2022
Perubahan iklim mendadak menyebabkan kemarau dan banjir yang tidak menentu serta pelbagai wabak melanda masyarakat adalah antara situasi yang bukan berada dalam kawalan kita apabila berdepan dengan krisis sekuriti makanan. Kekurangan bekalan makanan, makanan tidak berkhasiat dan ketidakcukupan sumber makanan yang segar, berkualiti serta bebas daripada bahan kimia akan menjadi dilema populasi masyarakat yang semakin meningkat.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kependudukan di bandar telah dicatatkan mencapai separuh daripada penduduk dunia dan diramalkan terus meningkat menjelang tahun 2050. Kebimbangan juga berlaku apabila isu kelaparan dan kebuluran dianggarkan sebanyak 250 juta orang adalah berlaku di bandar-bandar di dunia. Menurut World Bank 2020, Malaysia menduduki tempat ke-68 bagi kadar perbandaran dunia. Peningkatan kadar perbandaran negara kita pada 2020 dengan 77.2 peratus dan disasarkan tidak melebihi 85 peratus pada 2040 telah memberi satu tekanan kepada segmen keperluan makanan dan bahan asas serta fasiliti lain di bandar. Kepesatan perbandaran akan mengakibatkan kesukaran mendapatkan sumber makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.
Ekoran wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, situasi ekonomi Malaysia turut berada dalam keadaan tidak stabil dan memberi ancaman kepada kelangsungan bekalan makanan negara pada hari ini. Bagi menampung peningkatan populasi bandar, keperluan bekalan makanan mencukupi perlu diberi perhatian dan tidak seharusnya bergantung kepada makanan import semata-mata. Justeru, pertanian bandar menjadi solusi kepada ketidakcukupan bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import, meningkatkan kedaulatan makanan negara serta menjadi medium dalam membasmi kemiskinan di bandar.
Konsep pertanian bandar diserapkan dalam program kebun komuniti yang berorientasikan kerjasama masyarakat setempat merupakan satu inisiatif untuk membantu isi rumah mengurangkan kos sara hidup di samping dapat menikmati hasil tanaman yang segar dan semula jadi seperti di luar bandar. Pertanian bandar bukan berasaskan keuntungan yang diamalkan di negara maju kini semakin mendapat sambutan daripada masyarakat kota di Malaysia dengan galakan dan inisiatif daripada kerajaan. Konsep ini akan memberi nilai tambah kepada masyarakat di bandar kerana mampu mengurangkan perbelanjaan bulanan terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup.
Malaysia harus mencontohi negara lain dan menyokong pelaksanaan pertanian bandar dalam usaha merancakkan lagi sektor pertanian negara dan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara. Kerancakan sektor pertanian negara dapat dilihat dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 yang mencatatkan 7.4 peratus berbanding pada tahun sebelumnya sebanyak 7.1 peratus. Momentum ini harus dipacu dengan lebih padu agar negara kita mampu mempunyai tahap jaminan bekalan makanan negara tinggi dan tidak lagi bergantung kepada makanan import. Menjaga status kedaulatan makanan negara melalui aktiviti berkebun secara lokal amat penting pada saat banyak negara pengimport juga mengutamakan kemandirian dan keperluan bekalan makanan dalam negara mereka sebelum mengeksport ke negara lain. Sebagai contoh India yang memberhentikan eksport gandum kerana memenuhi keperluan sekuriti makanan negara mereka disebabkan pengeluarannya terjejas akibat pemanasan global. Situasi ini akan menjadi isu tergugatnya rantaian bekalan makanan seluruh dunia yang akan memberi impak kepada pelbagai penjuru dalam kelangsungan kehidupan seluruh umat manusia.
Kita tidak boleh lari daripadanya melainkan perlu menghadapi dengan tabah dan berperancangan. Maka intipati daripada surah Yusuf ayat 47-49 merupakan kunci kepada solusi masalah iaitu berjimat dan menyimpan sepertimana maksudnya: “Yusuf menjawab: Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”. Ayat ini merakamkan pengajaran penting dan amat bersesuaian dengan situasi yang dihadapi umat Islam pada hari ini.
Langkah menyediakan payung sebelum hujan ini perlu diterjemahkan dalam realiti masyarakat hari ini yang memerlukan kecukupan sumber makanan di rumah dengan kestabilan tahap sara diri. Pelaksanaan program kebun komuniti atau berkebun secara kecil-kecilan di rumah secara tidak langsung dapat memberi kesan kepada pengurangan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan warga kota. Dalam konteks ini, umat Islam harus mengadaptasikan konsep gagasan yang dianjurkan oleh Nabi Yusuf ketika Mesir menghadapi tujuh tahun zaman kemewahan dan tujuh tahun zaman kemelesetan. Negara Mesir ketika itu mendapat hasil pertanian yang subur dan rakyat harus berusaha bercucuk tanam dan hasil sebahagiannya disimpan untuk melalui zaman kemarau yang mendatang. Panduan ini wajar diberi perhatian sebagai salah satu strategi utama umat Islam untuk bersedia menghadapi kesulitan dengan berjimat cermat.
Belajar berjimat dan berdikit-dikit menyimpan daripada sekarang selaras dengan saranan Nabi Yusuf a.s, bukan hanya untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga mampu untuk membantu orang lain ketika saat genting dan memerlukan. Konsep ukhuwah kekeluargaan ini perlu dilaksanakan oleh setiap individu lebih-lebih lagi dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan sesebuah komuniti terjamin. Justeru, kebun komuniti atau pertanian bandar merupakan salah satu konsep yang amat sesuai dilaksanakan mengambil ibrah kisah Nabi Yusuf a.s dan memastikan sekuriti makanan dalam setiap komuniti terjamin walaupun berada di bandar. Memandangkan kos sara hidup yang tinggi di bandar dan warga kota banyak memusatkan perbelanjaan harian kepada keperluan bekalan makanan, maka kebun komuniti ini merupakan satu langkah tepat menjaga sekuriti makanan setempat. Dengan kata lain, meningkatkan kedaulatan makanan setempat melalui konsep pertanian bandar akan menjamin bekalan makanan sampai ke meja makan dengan selamat, segar dan berkhasiat. Seterusnya dapat menyumbang kepada penjimatan isi rumah dan mampu menyimpan untuk keperluan selain daripada makanan demi menghadapi situasi ketidaktentuan mendatang.