08 Mar
08Mar

Feb 9, 2023 9:18 PM

Semua pihak terutama kerajaan tidak boleh sama sekali mengambil sikap ‘relaks’ dalam usaha memastikan keterjaminan makanan di negara ini terpelihara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata langkah memastikan keterjaminan makanan itu penting dalam usaha memastikan negara dan rakyat mempunyai makanan yang cukup pada harga berpatutan pada ketika dunia dijangka berdepan kemelesetan ekonomi tahun ini.

Justeru, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan mengorak langkah melibatkan semua kementerian bagi melaksana pelan sesuai dalam memelihara keterjaminan makanan malah nama kementerian berkenaan turut ditukar bagi mencerminkan kepentingan itu.

“Petumbuhan ekonomi dunia tahun ini diramal agak perlahan dan isu keterjaminan makanan kini jadi topik hangat seluruh dunia, negara seperti di Afrika menghadapi isu kekurangan makanan dengan duit tiada, ekonomi meleset akhirnya kematian berlaku akibat kekurangan makanan.

“Kita tidak boleh relaks, kita kena ambil apa yang berlaku itu sebagai cabaran sebagai manusia yang dianugerahkan akal bagaimana kita hendak menjamin bahawa makanan ada di Sabah, Malaysia dan seluruh dunia,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika berucap melancarkan Bank Bergerak Agrobank di Kota Kinabalu yang dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, Pengerusi Agrobank Datuk Yunos Abd Ghani serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Beliau berkata dalam usaha memelihara keterjaminan makanan dan pembangunan sosioekonomi komuniti, pelbagai usaha perlu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan hasrat ini dapat dicapai.“Kerajaan menerusi kementerian, agensi, organisasi dan rakyat perlu berganding bahu untuk merealisasikan tanggungjawab ini. Simbiosis dan sinergi pelan perancangan strategik yang kukuh perlu diadaptasi dalam perancangan setiap entiti badan kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Mengulas mengenai Bank Bergerak Agrobank, Mohamad berkata ketika ini sebanyak dua unit bank bergerak itu akan memberi perkhidmatan perbankan serta kewangan kepada penduduk sekitar Lahad Datu, Tawau dan Beaufort.“Perkhidmatan ini adalah penting kerana penduduk dianggarkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam dan 16 minit dengan jarak 73.8 kilometer untuk ke pekan terdekat bagi mendapatkan akses perbankan,” katanya.

Beliau berkata Agrobank telah memperkenal inisiatif seumpama itu sejak 1970-an dikenali sebagai Bank Bergerak Bank Pertanian dan percaya perkhidmatan kewangan yang komprehensif merupakan tunjang utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi masyarakat terutama di luar bandar.- Bernama


https://www.malaysiakini.com/news/654553

Comments
* The email will not be published on the website.